Kisah benar lelaki cina ini bakar dan buang Al-Quran ke najis anjing




Kepada kakak dan abang yang bertanya bagaimana saya memeluk Islam dan perjalanan saya, di sini saya tulis kisah saya bagaimana saya mendapat mimpi memeluk Islam. Agak panjang sedikit.

Dulu, bunyi azan berkumandang, saya mesti marah dengan ayat-ayat yang agak kasar. Ini sebab bunyi laungan azan pernah menyebabkan saya bergaduh dengan Imam yang tinggal di tempat saya. Tetapi Iman hanya tersenyum sahaja. 

Saya juga pernah mengoyakkan Al-Quran dan bakar Al-Quran serta pernah buang Al-Quran ke najis anjing. Hati saya pada masa itu hanya rasa gembira, tiada langsung rasa bersalah.

Namun, pada satu malam, datanglah mimpi yang amat menakutkan. Kaki saya diikat dan ditarik oleh seorang yang badannya sangat besar, hodoh dan busuk. Saya ditarik hampir dengan satu lubang yang panas dengan api yang menyala. 

Saya menjerit meminta tolong. Tiba-tiba datang pula seorang yang badannya juga amat besar. Dia bercakap dengan lelaki hodoh itu. Kemudian rantai di kaki saya hilang. 

Orang itu datang kepada saya. Saya pandang orang itu tetapi wajahnya terlalu silau. Hanya dapat melihat bentuk badan dan rupa wajahnya. Dia berjanggut namun tidaklah panjang. Saya cuba menatap wajah orang itu tetapi terlalu silau. Selepas itu, dia pun membawa saya ke satu tempat, iaitu masjid.

Setelah sampai ke masjid, dia memberitahu saya, "masuklah ke dalam. Rumah awak kelak di sini,".

Saya pun memandangnya, mukanya sentiasa senyum walaupun silau.

Apabila saya masuk ke dalam masjid, orang itu pun hilang. Dalam masjid itu saya memandang, 'Wow!' ramainya orang sampai tak nampak penghujungnya. Saya hanya nampak mereka yang tengah duduk membaca Al-Quran.

Saya pandang depan dari tempat saya berdiri, susah nak tengok penghujungnya. Saya pandang pula ke kanan, tak dapat juga melihat penghujungnya dan begitu juga dengan bahagian krii. 

Dalam masjid, saya tak nampak pun dinding, hanya ada tiang-tiang yang amat besar. Masjid itu juga tiada bumbung, terus nampak langit yang cantik.

Selepas itu, terdengarlah suara azan. Saya pun terkejut dan terus bangun.

Oh, rupanya saya bermimpi tadi. Tapi tak sampai lima minit, surau dekat dengan balai polis dan masjid di bawah sikit pun azan subuh. 

Perkara yang amat pelik berlaku ialah, kedengaran suara kipas, suara burung, semua dapat tidak dapat didengar dengan jelas. Saya hanya dapat mendengar laungan azan di halwa telinga. Pada masa itu, rasa seperti dipukau. Habis sahaja laungan azan, suara-suara alam dapat didengar seperti biasa. 

Perkara ini berlaku tiga hari berturut-turut dan juga mimpi yang sama. 

Saya pernah menceritakan hal ini kepada keluarga di waktu sarapan pagi. Mereka berkata, itu hanyalah mimpi dan eloklah dilupakan saja. Saya juga berfikir sebegitu, jadi tak ambil kisah sangatlah.

Saya pernah cerita hal ini kepada keluarga apabila sarapan pagi. mereka kata hanyalah mimpi.lupakan sahaja.saya pun pikir camtu. so tak ambil kisah sangat.

Di hari kedua saya mengalami mimpi yang sama, saya menceritakan hal itu kepada keluarga sekali lagi. Abang saya yang beragama Kristian mencadangkan kepada ibu agar membawa saya bertemu dengan paderi gereja besar di Pulau Pinang. Sebelum itu, ibu pernah merujuk saya kepada tok bomoh Cina. 

Menurut bomoh Cina itu, saya terkena ilmu hitam dari orang Melayu. Dia pun menulis sesuatu pada kertas dan membakar kertas itu. Habuk kertas itu tadi diletakkan dalam air dan saya disuruh minum air itu. 

Selepas melakukan apa yang dipinta, bomoh itu berkata saya sudah pulih dan boleh tidur dengan lena. Mimpi itu juga tidak akan datang menganggu saya lagi.

Selepas itu, ibu dan abang membawa saya ke gereja Pulau Pinang. Setibanya di gereja, abang pergi berjumpa dengan paderi dan menceritakan hal saya kepadanya. Paderi pun datang dengan dua cawan air. Cawan pertama ialah air suci dan kedua ialah darah jesus (tetapi hanyalah air ribena). 

Paderi pun menyuruh saya minum kedua-dua air tersebut sambil dia membaca ayat-ayat yang terkandung dalam kitab injil itu kepada saya. Menurut paderi berkenaan, saya tidak akan diganggu oleh mimpi-mimpi itu lagi. Sebelum pulang, paderi memberikan saya salib dan mengarahkan salib itu digantung di dinding bilik. Saya akur dan melakukan apa yang dikehendaki oleh paderi berkenaan.

Pada hari ketiga, mimpi itu datang lagi. Pagi itu, saya bangun dan pergi mencari kawan Melayu dan ceritakan kepadanya apa yang berlaku kepada diri saya selama tiga hari itu. Dia terkejut dan terus membawa saya bertemu dengan Imam surau. 

Pada masa itu, saya berasa sangat malu kerana sebelum ini saya pernah bergadung dengan tok Imam. Saya hanya menunggu di motosikal pada ketika rakan saya itu memaklumkan hal itu kepada tok Imam.

Tok Imam pun terus keluar dan memeluk saya. Saya terkejut, Tok Imam suruh kami masuk ke dalam. Tok Bilal juga dipanggil sama dan saya menceritakan apa yang berlaku dari A sehingga ke Z mengenai apa yang berlaku. 

Pada ketika itu, saya perasan air mata Tok Imam dan Tok Bilal mengalir. Saya terkejut juga, saya menyangka mereka mungkin menangis kerana apa yang terjadi pada saya tiada kaitan dengan mereka. 

Saya terus bangun dan beredar dari situ. Dalam fikiran saya, mereka ini gila ke? Tiba-tiba saja menangis.

Pada hari keempat, mimpi itu sudah tiada. Mimpi pada kali ini hanyalah kedengaran orang membacakan Quran kepada saya. Saya tahu itu ayat Quran kerana saya pernah dengar kawan saya baca. 

Dari mula saya tidur, sehinggalah ke waktu subuh. Kedengaran orang membaca Quran pada waktu malam. Perkara ini berlarutan sehingga seminggu. Selepas seminggu, saya pun terus pergi berjumpa dengan Tok Imam seorang diri. Saya menceritakan kepadanya.

"Selepas saya balik pada hari itu, tiap-tiap malam saya mendengar orang baca Quran kepada saya,"

"Masih ingat lagi kah apa yang dibacakan itu?" tanya Tok Imam. 

"Saya tak tahu macam mana nak baca,".

Tok Imam pun mula membaca surah Al-fatihah. Tok Imam baca dan sampai pada ayat Alhamdulillah hirobbil A'lami, secara tiba-tibanya saya boleh baca ayat seterusnya sehingga habis. 

Tok Imam terkejut dan bertanya sama ada pernah tak ada orang ajar saya. 

"Tak pernah, itu pun saya dengar sewaktu saya tidur. Itulah ayat Quran yang orang baca pada saya,"

"Ah Heng, sekarang you dapat hidayah (petunjuk) dari Allah. Orang memeluk Islam ada dua jenis. Pertama, dapat petunjuk dari mimpi. Kedua, orang itu kahwin dengan perempuan Melayu.

"Kalau saya tanya Ah Heng, boleh terima Islam tak?"

"Saya boleh terima," jawab saya dengan hati yang sangat tenang. 

Tok Imam panggil seseorang lagi. Barulah saya tahu kenapa perlu ada dua saksi. Datanglah Tok Bilal.

"Ah Heng, you peluk Islam kerana kerelaan dan tiada paksaan dari orang," kata Tok Imam.

"Kerelaan sendiri," jawab saya. 

Tok Imam pun bawa saya mandi dan selepas mandi, Tok Imam suruh saya mengucap dua kalimah syahadah. Saya pun ucapkan dua kalimah syahadah. Saya diislamkan pada hari Jumaat.

Inilah kisah mimpi saya memeluk Islam dan ini adalah kisah selepas Islam. 

SAUDARA BARU

Di sini, saya ingin meceritakan, selepas saya memeluk Islam, pada mulanya saya pergi kursus saudara baru selama empat bulan. Pada mulanya, saya merancang nak cerita selepas 2 3 tahun kerana menunggu masa yang sesuai. Di sini saya tidak menulis nama pejabat agama itu. Saya juga memaklumkan kepada pejabat agama agar tidak mengirimkan sebarang risalah Islam ke alamat rumah saya. Surat memeluk Islam dan kad Islam saya ambil sendiri di pejabat agama. Mereka akur dan saya kembali ke tempat kursus saudara baru. 

Pada bulan Januari, saya balik ke rumah pada masa itu sebab ada cuti.

Saya masuk ke rumah, tengok wajah keluarga saya lain macam. Abang lempar surat Islam dan kad Islam di depan saya. Pada masa itu, hati saya sangat marah dan dalam hati berkata "Celaka betul pejabat agama, haramjadah dan sebagainya. Sudah janji takkan kirm tetapi tetap kirim juga."

Saya berikan penjelasan tetapi mereka tidak menerimanya. 

Misalnya, saya cakap saya hanya beragama Islam tetapi tetap berbangsa Cina. Abang terus berkata, "Tidak, you Islam, you Melayu!".

Hampir sejam kami bergaduh, mereka tekankan berkali-kali, nak keluar dari Islam atau tidak. Saya tekad dan berkata tidak. 

"Saya Islam, saya Cina!"

Abang sulung saya marah dan bangun terus memukul saya. Dua gigi depan saya patah. Ibu hanya tengok dan menangis.

"You mahu Islam, you keluar dari rumah ini!" kata abang. 

Saya pun terus keluar dari rumah. Pada waktu itu sudah malam, saya keluar juga dari rumah dengan sehelai sepinggang. Saya pergi ke masjid dan meminta untuk tumpang tidur buat satu malam namun tidak dibenarkan. 

Saya pun berjalan ke perhentian bas berdekatan dengan bandar. Perjalanan dari taman ke perhentian bas itu mengambil masa satu jam. Sampai saja di perhentian bas itu, saya duduk di kerusi dan terjumpa dengan seorang pakcik.

Dia nampak mulut saya bengkak dan berdarah lalu dia bertanya, "Adik gaduh ke?" 

Saya hanya mampu menjawab tidak dan lalu bercerita kepadanya. Pakcik itu terus membawa saya ke sebuah klinik swasta untuk mendapatkan rawatan.

Selesai diberikan rawatan, saya memaklumkan kepada pakcik itu saya tiada wang untuk membayarnya. Pakcik itu berkata, dia akan membayar kos rawatan dan doktor pula hanya mengenakan bayaran separuh harga. 

Saya bercadang untuk kembali semula ke perhentian bas itu tadi. Pakcik itu juga ada bertanya, apa perancangan saya selepas itu.

"Belum tahu lagi pakcik,".

Pakcik itu menghulurkan RM50 untuk saya sebelum berlalu pergi. 

Pada hari kedua, saya pergi ke pejabat agama dan menceritakan apa yang berlaku. Tanpa disangka, saya mendapat bantuan sebanyak RM50. 

"Dengan RM50 ini saya boleh beli apa? Nak beli baju, seluar dan barang kegunaan pun tidak mencukupi,".

Menurut pegawai itu, sememangnya prosedur telah menetapkan saudara baru hanya akan mendapat bantuan RM50 sahaja. 

Enggan memanjangkan cerita, saya memberikan salam dan keluar dengan mata yang merah. Saya pergi ke masjid, terjumpa pula dengan Imam masjid. Dia tanya saya hendak ke mana, saya beritahu hendak pergi ke Kuala Lumpur kerana saya tidak berani lagi berada di sini. Imam terus meminjamkan saya wang dan belikan tiket bas. 

Imam berikan saya RM100 dan saya pun menaiki bas ke Kuala Lumpur. Setibanya di Kuala Lumpur, saya mula mencari kerja. Namun hasrat saya itu tertunggak kerana saya tiada wang untuk membeli kasut. Saya pun berehat di masjid. 

Kemudian datang seorang pakcik dan berkata dia sudah melihat saya beberapa hari berada di sini. Saya pun menceritakan hal saya kepadanya. Lalu pakcik itu membawa saya pergi membeli pakaian, beg galas dan barang kegunaan harian. 

Pakcik itu berkata, "Anak pergi belajar dulu. Pergi Kelantan dan belajar di pondok. Pakcik itu memberikan saya sedikit wang lalu dibelikan tiket ke Kelantan. Saya pun mulalah mencari pondok dan dapatlah saya masuk pondok untuk belajar mengenai agama Islam. Saya pernah post di Facebook yang saya nak beli toto dan sebagainya. 

Semasa perayaan tahun baru Cina, saya ada balik ke rumah keluarga saya. Namun saya hanya menumpang di surau. Sebelum dan selepas maghrib, saya cuba balik ke rumah. Namun tiada seorang pun yang mahu keluar menyapa saya. Saya hanya berdiri di pagar seperti orang bodoh.

Saya masih ingat lagi, hari terakhir tahun baru Cina, abang keluar dengan sebungkus oren dan sekeping angpau diberikan kepada saya tanpa berkata apa-apa. Saya menerimanya dan beredar dengan hati yang gembira. Saya fikir mereka sudah mula menerima saya. Saya pun pergi menunggu bas.

Saya buka kulit oren untuk dimakan dan sampul angpau juga saya buka dan alangkah melesetnya sangkaan saya yang di dalam angpau itu bukanlah duit tetapi sekeping wang yang digunakan untuk sembah dan bakar pada hari orang meninggal. 

Pemberian wang mati itu bermaksud keluarga saya telah menganggap bahawa saya sudah tiada lagi dalam kehidupan mereka. Pendek kata, saya sudah mati. 

Saya pernah memohon zakat tiga kali, tiga kali itu juga tidak pernah diluluskan. 

Pertama kali saya memohon, disebabkan borang perlu ditulis dengan huruf besar, saya tulis huruf besar. Tetapi borang permohonan saya ditolak. Kali kedua saya cuba memohon dan kali ini saya tulis dengan penuh ketelitian dan memberikan borang yang lengkap berserta dengan surat pengesahan dari hospital besar dan doktor. Siap pergi ke masjid meminta cop pengerusi masjid. Semuanya lengkap dan dihantarkan ke pejabat zakat. Malangnya, pegawai mereka berkata saya perlu menunggu 2 - 3 bulan untuk proses borang bantuan. 

Selepas tiga bulan, saya hubungi pejabat zakat, jawapannya tetap sama. 'Borang anda sedang diproses dan sabar ya.'.

Saya tunggu punya tunggu masih tiada jawapan langsung. Saya memohon untuk kali ketiga, pegawai itu berkata, kena ada alamat rumah tetap dan pengesahan bil elektrik dan bila air. Saya beritahu pegawai itu saya kena halau dari rumah, macam mana nak cari bil elektrik dan air?

Pegawai itu menyarankan kepada saya untuk menyewa bilik dulu. Saya maklumkan yang saya tiada kewangan untuk sewa bilik. Dia pula berkata, pandai-pandailah cari sendiri. Dengan hati yang kecewa, saya pun beredar dari situ. 

Ada seorang makcik menyarankan saya meminta bantuan dari masjid. Saya pun pergi ke masjid dan meminta bantuan. Imam masjid mahu menolong saya, tetapi sebelum itu dia memaklumkan kepada AJK masjid. 

AJK masjid pun datang pada saya dan menjelaskan mereka tiada peruntukan untuk kes seperti ini.

"You ada surat dari pejabat agama yang boleh izinkan you mengutip derma tak?" tanya AJK masjid.

Saya kata, saya tidak tahu pula ada peraturan seperti itu.

"Kalau tak ada surat dari pejabat agama, tak boleh minta derma,". kata mereka.

Saya akur, saya keluar dari masjid dan sebelum itu Imam datang dan memasukan RM150 ke dalam poket saya dan memeluk saya.

"Maaf dik, saya hanya membantu tetapi peraturan masjid tidak membenarkan. Saya hanya mampu menolong sebanyak ini," katanya.

Sehingga sekarang orang masih bertanyakan soalan yang sama kenapa tidak pergi minta bantuan dari pejabat agama. Saya hanya mampu membalasnya dengan senyuman. - Zul Ariff Abdullah.

0 Response to "Kisah benar lelaki cina ini bakar dan buang Al-Quran ke najis anjing"

Post a Comment